Tuesday, 23 February 2016

Akhirnya



Akhirnya

Telah kuberikan ruang
walaupun sangat sempit
dan karatnya bumbung
untuk kau terus berteduh

Di ruangan itu
cukup untuk kita berseloka
belajar tentang kata-kata berprasti terindah
yang menjadi jalan kita menjelmakan kata
tanpa perlu menunjuk bentuk di sebalik rupa

Di ruang yang hangat itu
aku menyediakan gerbang pintu
untuk kau mencari
tunjang-tunjang yang menyokong kau tegak berdiri
menghapuskan sisa jajahan yang menjadi bara
dan titik keterbukaan dirimu

Di ruang terpencil itu
aku yang menjadi dinding melihat kau tatih berdiri
aku yang menjadi bumbung melindungimu
dan setakat itu sahaja yang mampu
aku berada

Dan sehingga malam
aku mencari di ruang seperti lazimnya
ingin menemanimu mengira bintang-bintang
yang telah kau punya sepanjang jarak pencarianku

Dan sehingga terbit fajar tadi
aku menganggap ruang itu telah mati
takkan kembali
kerana kaupunya ruang baru
yang terlebih dahulu hadir dari aku
di semilir persada bintang berkilauan
dan meninggalkan aku yang kelelahan

29 Januari 2016