Monday, 17 August 2015

Luahan Hati Pendidik Tanah Kayu

Hampir tiga minggu aku membawa nama sebagai seorang pendidik di tanahairku sendiri. Di tanah kayu ini, aku melihat pelbagai ragam golongan elit mahupun golongan bawahan yang pekerjaannya mungkin biasa-biasa saja. Apakah golongan bawahan ini ditindas? Mahupun dicerca, dicaci maki oleh golongan bangsawan yang kita sangka hanya tahu menabur wang sahaja? Mungkin ada, tapi belum pernah aku dengar lagi terjadi di depan mata aku. Darah seorang guru mengalir dalam tubuhku. Hal ini kerana, ibu aku juga seorang pendidik anak bangsanya sendiri. Berlainan dengan aku yang menabur bakti dan jasa kepada anak-anak luar negara, mahupun bangsa yang selain dari bangsaku sendiri. Bangsa aku? Ada. Tapi tak ramai. Kenapa? Madrasah ini bukanlah tempat untuk bangsaku. Namun aku bersyukur kerana bangsaku hanya minoriti di tempat ini. Jikalau tidak hancurlah budi bahasa yang dijulang tinggi oleh generasi yang terdahulu. Porak-perandalah nasib dan hilanglah tutur kata bahasa sendiri, hanya bahasa asing yang kedengaran dituturkan di sini. Walaupun aku juga mengajar bahasa bangsa aku, namun bahasa asing jua yang kututurkan. Masakan tidak, pelajar yang lain tidak akan faham apa yang kucuba sampaikan. Namun, mereka boleh aku kategorikan sebagai genius! Kerana, bukan mudah untuk mempelajari bahasa yang sememangnya sudah lali aku tuturkan saban hari. Setakat mengenali apa itu asas dalam bahasa aku, sudah cukup puas aku rasakan. Bonus untuk aku sekiranya mereka dapat menghormati aku sebagai seorang guru. Jangan dipijak kepala gurumu, hanya kerana aset mak ayahmu yang berjuta-juta lemon! Apa yang kupinta, aku memohon agar aku dapat menghadapi hari-hari yang mendatang dengan baik, tiada masalah disiplin daripada pelajarku, dan tumpukan perhatian dalam kelas.

-Pendidik Tanah Kayu

Thursday, 5 February 2015

Dua Puluh Tiga Tahun

Dia mengetap bibirnya menahan kesakitan. Dikerah sepenuh tenaga sehingga menampakkan butir-butir peluh menitik jatuh. Sesekali terdengar jeritan kecil yang ditahan-tahan keluar dari mulutnya. Malu barangkali. Mana tidaknya, kiri kanan dikelilingi beberapa orang berpakaian serba putih. Tidak terkira, mungkin tiga atau empat orang. Matanya sudah berbinar-binar. Badannya lemah. Diselangi lagi dengan letupan bunga api di luar bangunan yang agak usang. Seperti tahun-tahun sebelumnya, bunga api akan dibakar untuk menghalau hantu. Lazimnya, ia akan berterusan sehingga jam 1 atau 2 pagi.

Terdengar juga jeritan yang agak kuat dari bilik sebelah yang turut bertempur dalam perjuangan antara hidup dan mati. Dia masih terlantar lemah. Tiba-tiba, antara dengar atau tidak, dia menangkap suara yang memberi kata-kata semangat! Mungkin ketua antara mereka yang berpakaian serba putih itu tadi. Ketua kumpulan tidak putus asa berterusan memberi kata-kata semangat. Salah seorang ahli kumpulan membuat urutan secara menolak perutnya ke bawah. Keadaan itu membuatkan dia kembali meneruskan perjuangan yang tertinggal beberapa minit di belakang.

Dia meneran sehabis boleh lalu berehat beberapa saat menarik nafas sedalam-dalamnya. Diulangnya setiap apa yang dilakukannya agar perjuangannya segera sampai ke penghujung cerita. Hampir dua jam bertarung di ruang segi empat itu, akhirnya terdengar tangisan yang ditunggu-tunggu oleh setiap kaum Hawa sepertinya. Bayi perempuan seberat lebih kurang 2.3kg selamat dilahirkan. Alhamdulilah...ucapan yang tidak lekang dari mulutnya.

Bayi perempuan itu sudah menempuh banyak fasa hidup dan hari ini genap dia berusia 23 tahun. Pada hari yang istimewa ini juga dia berterima kasih atas perjuangan yang tidak putus-putus buat si ibu yang bertempur hebat 23 tahun yang lalu. Terima kasih untuk hari ini dan sepanjang hidupku...