Hampir
tiga minggu aku membawa nama sebagai seorang pendidik di tanahairku sendiri. Di
tanah kayu ini, aku melihat pelbagai ragam golongan elit mahupun golongan
bawahan yang pekerjaannya mungkin biasa-biasa saja. Apakah golongan bawahan ini
ditindas? Mahupun dicerca, dicaci maki oleh golongan bangsawan yang kita sangka
hanya tahu menabur wang sahaja? Mungkin ada, tapi belum pernah aku dengar lagi
terjadi di depan mata aku. Darah seorang guru mengalir dalam tubuhku. Hal ini
kerana, ibu aku juga seorang pendidik anak bangsanya sendiri. Berlainan dengan
aku yang menabur bakti dan jasa kepada anak-anak luar negara, mahupun bangsa
yang selain dari bangsaku sendiri. Bangsa aku? Ada. Tapi tak ramai. Kenapa?
Madrasah ini bukanlah tempat untuk bangsaku. Namun aku bersyukur kerana
bangsaku hanya minoriti di tempat ini. Jikalau tidak hancurlah budi bahasa yang
dijulang tinggi oleh generasi yang terdahulu. Porak-perandalah nasib dan
hilanglah tutur kata bahasa sendiri, hanya bahasa asing yang kedengaran
dituturkan di sini. Walaupun aku juga mengajar bahasa bangsa aku, namun bahasa
asing jua yang kututurkan. Masakan tidak, pelajar yang lain tidak akan faham
apa yang kucuba sampaikan. Namun, mereka boleh aku kategorikan sebagai genius!
Kerana, bukan mudah untuk mempelajari bahasa yang sememangnya sudah lali aku
tuturkan saban hari. Setakat mengenali apa itu asas dalam bahasa aku, sudah
cukup puas aku rasakan. Bonus untuk aku sekiranya mereka dapat menghormati aku
sebagai seorang guru. Jangan dipijak kepala gurumu, hanya kerana aset mak
ayahmu yang berjuta-juta lemon! Apa yang kupinta, aku memohon agar aku dapat
menghadapi hari-hari yang mendatang dengan baik, tiada masalah disiplin
daripada pelajarku, dan tumpukan perhatian dalam kelas.
-Pendidik Tanah Kayu