Monday, 17 August 2015

Luahan Hati Pendidik Tanah Kayu

Hampir tiga minggu aku membawa nama sebagai seorang pendidik di tanahairku sendiri. Di tanah kayu ini, aku melihat pelbagai ragam golongan elit mahupun golongan bawahan yang pekerjaannya mungkin biasa-biasa saja. Apakah golongan bawahan ini ditindas? Mahupun dicerca, dicaci maki oleh golongan bangsawan yang kita sangka hanya tahu menabur wang sahaja? Mungkin ada, tapi belum pernah aku dengar lagi terjadi di depan mata aku. Darah seorang guru mengalir dalam tubuhku. Hal ini kerana, ibu aku juga seorang pendidik anak bangsanya sendiri. Berlainan dengan aku yang menabur bakti dan jasa kepada anak-anak luar negara, mahupun bangsa yang selain dari bangsaku sendiri. Bangsa aku? Ada. Tapi tak ramai. Kenapa? Madrasah ini bukanlah tempat untuk bangsaku. Namun aku bersyukur kerana bangsaku hanya minoriti di tempat ini. Jikalau tidak hancurlah budi bahasa yang dijulang tinggi oleh generasi yang terdahulu. Porak-perandalah nasib dan hilanglah tutur kata bahasa sendiri, hanya bahasa asing yang kedengaran dituturkan di sini. Walaupun aku juga mengajar bahasa bangsa aku, namun bahasa asing jua yang kututurkan. Masakan tidak, pelajar yang lain tidak akan faham apa yang kucuba sampaikan. Namun, mereka boleh aku kategorikan sebagai genius! Kerana, bukan mudah untuk mempelajari bahasa yang sememangnya sudah lali aku tuturkan saban hari. Setakat mengenali apa itu asas dalam bahasa aku, sudah cukup puas aku rasakan. Bonus untuk aku sekiranya mereka dapat menghormati aku sebagai seorang guru. Jangan dipijak kepala gurumu, hanya kerana aset mak ayahmu yang berjuta-juta lemon! Apa yang kupinta, aku memohon agar aku dapat menghadapi hari-hari yang mendatang dengan baik, tiada masalah disiplin daripada pelajarku, dan tumpukan perhatian dalam kelas.

-Pendidik Tanah Kayu

No comments:

Post a Comment